KUALA LUMPUR 27 Mei – Harga makanan di bazar Ramadan di ibu negara yang disifatkan terlalu mahal menimbulkan rasa kesal dalam kalangan pengunjungnya.
Rata-rata mereka yang ditemui semasa membeli juadah berbuka puasa mengeluh dengan kenaikan harga makanan yang dianggap tidak berpatutan.
Meskipun kenaikan tersebut sudah dijangkakan setiap kali tiba bulan Ramadan, namun kebanyakan mereka terkilan dengan sikap sesetengah peniaga yang seolah-olah mahu mengambil kesempatan dengan melipat gandakan keuntungan.
Tinjauan Mingguan Malaysia di bazar Ramadan di Kampung Baru di sini mendapati, ada peniaga menjual Roti John pada harga antara RM6 hingga RM9 dan seekor ayam golek RM20, iaitu kenaikan kira-kira sekali ganda.
Selain itu, terdapat peniaga minuman yang menjual air tebu dengan harga RM5 sebungkus yang sebelum ini hanya RM3 sebungkus.
Seorang suri rumah, Roszahna Roslan, 30, berkata, dia agak terperanjat dengan keadaan itu dan kenaikan harga amat dirasai terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat sekarang.
“Jika beginilah harga di bazar Ramadan, saya rasa selepas ini saya hanya akan masak di rumah, lebih jimat.
“Saya pergi ke bazar Ramadan hari ini untuk merasai kemeriahannya tetapi rasa agak terkilan dengan harga makanan yang terpaksa dibayar,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Amir Farhan, 25, memberitahu, meskipun dia tidak kisah untuk membayar lebih bagi mendapatkan juadah berbuka puasa, dia tetap berharap pihak berwajib dapat melakukan sesuatu agar keadaan sedemikian dapat dikawal.
“Daripada 10 gerai yang saya singgah, sembilan gerai telah naik harga berbanding tahun lepas.
“Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menyalahkan peniaga dengan kenaikan ini kerana seperti yang kita tahu, banyak harga bahan mentah naik,” ujarnya.
Sementara itu, kakitangan swasta, Hafiz Abd. Aziz, 33, menjelaskan, namun begitu, masih ada peniaga yang tidak menaikkan harga tetapi perubahan ketara dapat dilihat dari sudut saiz dan kuantiti makanan dijual.
“Kita harap pihak berwajib memantau kenaikan harga barang di bazar Ramadan dalam masa sebulan ini supaya mereka tidak menaikkan harga makanan dan minuman sesuka hati.
“Ada yang menjual Roti John dengan harga RM9 dan air tebu dengan harga RM5 yang dilihat agak keterlaluan,” katanya.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
Tidak ada komentar:
Posting Komentar