Breaking

Rabu, 24 Mei 2017

Komen Zahasmi Mengenai Bako Bakal Beraksi Malam ini


PENYERANG import baharu Kelantan, Abou Bakr Al-Mel bakal menjadi sandaran untuk merobek gawang Pulau Pinang pada pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Pengendali The Red Warriors, Zahasmi Ismail berkata, penjaring terbanyak Liga Perdana Lubnan yang dikenali panggilan Bako itu bakal digandingkan dengan Alessandro Celin bagi mengetuai jentera penggempur pasukannya.

Menurutnya, sekalipun Abou Bakr baru menyertai Kelantan tidak sampai seminggu, namun penyerang berusia 24 tahun itu sudah mula menunjukkan keserasian bersama rakan sepasukan selain ketajamannya di depan pintu gol.

“Dengan reputasi tinggi selaku penjaring terbanyak, saya percaya Bako pastinya akan membuktikan sesuatu kepada penyokong Kelantan, apatah lagi ini penampilan sulung dia bersama pasukan.

“Dia akan digandingkan dengan Celin sambil dibantu Piya (Mohd Badhri Radzi) dan Indra Putra (Mahayuddin) yang akan mengemudi bahagian tengah,” ujarnya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, lebih menggembirakan, skuad pantai timur akan membariskan kesemua pemain import termasuk Mamadou Danso dan Morgaro Gomis buat pertama kali untuk berdepan pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan itu.

“Misi terakhir kita menjelang bulan Ramadan, kita mahu pastikan rekod bersih Kelantan di tempat lawan diteruskan di gelanggang keramat (Kota Bharu) dengan meraih kemenangan malam esok (ini).

“Walaupun aksi pusingan pertama kita di tempat sendiri kurang memuaskan apabila hanya menang sekali, namun saya percaya Kelantan mampu menewaskan Pulau Pinang,” katanya.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 50 tahun itu tetap mengingatkan barisan pemainnya agar tidak memandang mudah pertemuan tersebut memandangkan skuad Harimau Kumbang tampil dengan wajah baharu pada pusingan kedua saingan liga musim ini.

Ujarnya, kemasukan Sanna Nyassi dari Gambia dan Imad Zatara (Palestin) selain Azidan Sarudin dan R Surendran pasti menyuntik kekuatan lawan untuk memburu kemenangan, pada pertemuan itu.

“Kita menang 5-1 pada pusi-ngan pertama namun saya fikir pertemuan malam esok (ini) mungkin menjanjikan kelainan. Kita tetap hormati Pulau Pinang walaupun pasukan itu berada di tangga tercorot ketika ini,” katanya.

Sumber : SINAR HARIAN

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Adbox