KUALA TERENGGANU: T-Team tetap menaruh harapan tinggi memungut mata biarpun turun berdepan juara Piala FA, Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam esok. Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, mengakui pasukannya berdepan laluan getir dan perlu bekerja keras dalam perlawanan ini.
Katanya, pasukan Helang Merah kini berada dalam prestasi terbaik dan moral yang cukup tinggi selepas menjulang Piala FA, Sabtu lalu.
"Walaupun kita mengalahkan mereka 5-0 dalam pusingan pertama, ia tidak boleh dijadikan ukuran kerana Kedah pastinya akan turun dengan moral yang tinggi selepas menjuarai Piala FA.
"Malah, rekod juga menunjukkan Kedah begitu baik dan sukar untuk mana-mana pasukan menewaskannya apabila bermain di stadium sendiri dan puluhan ribu penyokong setia mereka," katanya.
Pengendali kelahiran Indonesia itu menjangkakan penyokong akan membanjiri stadium bagi memberikan sokongan padu buat pasukannya selain meraikan kejayaan menewaskan Pahang 3-2 di pentas final Sabtu lalu. Begitupun, katanya dia cuma mengharapkan anak buahnya bersedia dari segi mental dan fizikal selain bermain mengikut perancangan.
"Saya juga akan melakukan sedikit perubahan taktikal kerana percaya Kedah dapat membaca corak permainan yang sama seperti perlawanan sebelum ini.
"Saya juga yakin, Kedah juga tidak akan memberi laluan mudah buat kami dan semestinya mereka turun dengan misi membalas dendam kekalahan 5-0 pada 15 April lalu," katanya.
Sumber : Berita Harian
Tidak ada komentar:
Posting Komentar