KOTA BHARU 28 Mei – Biarpun mendapat bayaran pampasan RM1.4 juta ekoran perpindahan Mohammed Ghaddar ke Johor Darul Ta'zim (JDT), Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak berhasrat untuk melunaskan tunggakan gaji bekas pemain Kelantan musim 2015 dan 2016.
Setiausaha KAFA, Datuk Ismail Md. Nor berkata, pihaknya lebih memberikan keutamaan untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain musim ini yang sedang dihadapi oleh badan induk itu ketika ini.
“Kita sudah dapat (wang tebus kontrak Ghaddar) tetapi masih ada sedikit lagi baki yang belum KAFA terima.
“Tunggakan gaji bekas pemain kita tidak boleh bayar lagi sebab kena selesaikan yang terkini dahulu baru boleh berbuat selebihnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Salah seorang bekas pemain Kelantan, Jonanthan McKain mempersoal tindakan Kelantan yang baru-baru ini mendapatkan pemain import baharu.
Bekas tonggak kebangsaan Australia itu memuat naik status di Twitter miliknya yang membidas tindakan KAFA kerana masih mencari pemain baharu tetapi liat untuk melunaskan tunggakkan gajinya.
Mengulas lanjut, Ismail memberitahu, KAFA sedang berusaha mencari duit untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan secepat mungkin.
“Cuma buat masa sekarang KAFA tidak ada duit, namun kita sentiasa komited untuk selesaikannya. Sampai masa KAFA akan bayar,” ujarnya.
Kata beliau, pembelian pemain import baharu dengan tunggakan gaji merupakan dua isu yang berbeza.
“Kita ambil pemain baharu kerana mahu bersaing dengan pasukan-pasukan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.
“Soal tunggakan gaji, ada kaedah pembayaran lain, kalau nak tumpu pada soal tunggakan gaji sahaja, Kelantan kena tarik diri daripada saingan liga sebab tak ada pemain,” ujarnya lagi.
Sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd
Tidak ada komentar:
Posting Komentar