Mohd. Nidzam Adzha Yusoff mungkin mendapat hadiah antara yang terbesar dalam hidupnya apabila Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bersetuju menaikkan pangkatnya sebagai ketua jurulatih ekoran kejayaannya membimbing skuad Lang Merah memenangi Piala FA.
Bagaimanapun, jawatan itu adalah hingga akhir musim ini iaitu apabila kontrak semasanya tamat dan kedudukannya untuk musim depan bergantung kepada prestasi pasukan.
Naib Presiden KFA, Datuk Jeffrey Low berkata, walaupun pelantikan Nidzam Adzha sebagai ketua jurulatih menggantikan Tan Cheng Hoe belum ada ‘hitam putih’ namun jawatan itu kini memang sah milik jurulatih dari Perak itu.
“Kami (KFA) memang sudah membuat keputusan untuk mengekalkan dia hingga akhir musim sekiranya berjaya membantu Kedah menjuarai Piala FA. Jadi hingga akhir musim ini, dia akan mengendalikan pasukan Lang Merah.
“Bagaimanapun, kami masih belum menawarkan kontrak baharu kepadanya. Kami dalam proses untuk menyediakannya,” katanya, yang juga pengurus pasukan, ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nidzam Adzha sebelum ini memangku tugas tersebut selepas Cheng Hoe melepaskan jawatan itu pada akhir bulan lalu kerana menyertai skuad kebangsaan.
Jeffrey bagaimanapun berkata KFA masih meneruskan pencarian jurulatih lebih berpengalaman untuk membimbing skuad Lang Merah pada musim depan kerana mereka juga akan bersaing dalam Piala AFC.
“Kami akan terus menilai kemampuan Nidzam membimbing pasukan Kedah, namun pada masa sama harus diakui Kedah memerlukan jurulatih berpengalaman untuk mengendali skuad Lang Merah ketika beraksi dalam saingan AFC pada tahun depan,” ujarnya.
Sementara itu, Nidzam Adzha mendedahkan perbincangan mengenai pelantikannya sebagai ketua jurulatih telah dibincangkan sebelum perlawanan akhir Piala FA.
“Sebelum final lagi, KFA telah menawarkan saya jawatan ketua jurulatih yang baharu tanpa sebarang syarat. Jadi selepas ini saya akan didaftarkan sebagai jurulatih Kedah dalam perlawanan seterusnya.
“Pada saya, ini bukan kenaikan pangkat... sebaliknya tanggungjawab besar untuk saya memastikan Kedah dapat mengekalkan momentum cemerlang di bawah kendalian saya,” katanya.
Ditanya mengenai pencarian jurulatih baharu untuk musim depan, dia mengalu-alukan usaha KFA itu kerana kejayaan skuad Lang Merah lebih utama daripada kepentingan peribadi.
Sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd
Tidak ada komentar:
Posting Komentar