Terkenal dengan panggilan Bako di negara asalnya, pemain dari Lebanon itu berkata, dia berharap penyokong dapat memberikan sokongan padu kepadanya untuk membantu The Red Warriors (TRW) mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Menurutnya, Ghaddar bukan sahaja rakan sepelatihnya dalam pasukan kebangsaan Lebanon malah penyerang prolifik itu dianggap sebagai idola.
“Gaya permainan Ghaddar dan saya pasti berbeza. Saya harap penyokong tidak membandingkan kami.
“Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Penyerang berusia 25 tahun itu merupakan penjaring terbanyak Liga Lebanon musim ini dengan 16 gol dariapada 20 penampilan bersama Tripoli SC.
Bako memberitahu, dia sudah bersedia membuat penampilan pertama bersama Kelantan apabila bertemu Pulau Pinang dalam saingan Liga Super di Kota Bharu malam esok.
“Saya tidak berdepan masalah sepanjang menjalani sesi latihan bersama rakan-rakan baharu.
“Mereka banyak membantu saya untuk menyesuaikan diri dan saya sudah tidak sabar untuk beraksi,” ujarnya.