SHAH ALAM: Pengendali Pahang, Dollah Salleh tidak mahu menyalahkan Francisco Insa selepas pasukannya tewas 2-3 kepada Kedah dalam perebutan Piala FA di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Layangan kad merah ke atas Insa disifatkan sebagai lumrah dalam bola sepak, dan Dollah tetap berbangga dengan pemain lain kerana mempamerkan sikap melawan terutama di babak kedua.
Bagaimanapun, pengendali Tok Gajah ini mengakui faktor kelekaan di awal permainan menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan.
"Kesilapan di awal permainan. Kita sudah tidak boleh buat apa dan harus segera lupakan apa yang terjadi.
"Yang penting, dengan 10 orang kita tetap melawan dan saya berbangga dengan pemain yang sudah melakukan yang terbaik, terutamanya di babak kedua.
"Kita merancang untuk sekat Liridon Krasniqi. Ini bola sepak... benda nak jadi," katanya selepas tamat permainan.
Dollah turut menghamburkan pujian kepada semua pemainnya kerana cukup berdisiplin mengikut arahan ketika bertahan dan menyerang, serta berterima kasih kepada penyokong.
"Memang kecewa kerana terpaksa bermain 10 orang, tetapi kita lihat seperti kita main 11 orang. Saya tidak ada rasa menyesal, sebaliknya bangga dengan pemain.
"Penyokong juga tidak balik (keluar stadium), itu yang membuatkan saya gembira dengan perlawanan ini," katanya.
Kedah merangkul trofi kedua musim ini dan akan mewakili Malaysia ke saingan Piala AFC musim depan, namun Dollah tetap yakin dengan kemampuan pasukannya untuk mencabar kejuaraan Liga Super.
Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu juga optimis Pahang mampu merapatkan jurang mata dalam kedudukan carta Liga Super jika terus konsisten dengan corak permainan serta prestasi yang dipamerkan seperti malam tadi.
"Saingan liga memang sengit. Tiga pasukan... (Johor Darul Ta'zim, Pahang dan Kedah). Kalau kita kekal dengan prestasi ini, kita mampu atasi jurang mata," katanya.
Sumber : Berita Harian
Tidak ada komentar:
Posting Komentar