Menurut Tunku Ismail, memandangkan temasya dwitahunan itu diadakan di laman sendiri adalah menjadi tanggungjawab FAM untuk memastikan skuad B22 negara memperoleh keputusan positif.
“Buat masa sekarang skuad B22 negara akan beraksi di China dan jelas sekali kita adalah tuan rumah itu bermakna pasukan kena beraksi dengan bagus.
“Walaupun tiada dalam kalender FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) bagi aksi persahabatan B22 negara namun masih ada pasukan yang tidak mahu melepaskan pemain mereka.
“Ini adalah kejohanan (Sukan SEA) yang kita harapkan skuad negara beraksi dengan baik dan bagi saya lebih baik lepaskan pemain dan saya harapkan pasukan lain dapat melakukan perkara yang sama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu akan menghadapi tiga perlawanan persahabatan di China bermula 6-13 Jun ini. Mereka bakal diuji oleh skuad B 22 China, Guangzhou R&F dan Guangzhou Evergrande.
Dalam perkembangan berasi­ngan, Persatuan Pemain Bola sepak Profesional Malaysia (PFAM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama FAM bagi mengiktiraf mereka sebagai badan atau ‘rakan kerjasama strategik bagi membangunkan bola sepak negara.
Menerusi MoU ini ia menjadi titik tolak bagi ruang kerjasama yang lebih besar bagi mewujudkan standard kontrak pemain serta penubuhan National Dispute Resolution Chamber (NDRC).
“PFAM mengorak satu lagi langkah ke hadapan dan suara kami didengari. MoU ini bukan sekadar pengiktirafan kepada kami tetapi menjadi saluran kepada pemain untuk menyuarakan isu.
“Sebelum ini, hubungan kami bersama FAM lebih kepada tidak formal dan sekarang kami lebih formal,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail.
Turut hadir Setiausaha FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.