Breaking

Selasa, 23 Mei 2017

BAKO Tidak Mahu Letak Sebaris Ghaddar Berjaya Menjaringkan 18 Gol


KOTA BHARU: Penyerang import baharu The Red Warriors (TRW) dari Lubnan, Abou Bakr Al-Mal tekad menghadiahkan kemenangan pertama dalam aksi sulungnya menentang Pulau Pinang, esok. 

Keyakinan bekas pemain dari kelab AC Tripoli yang juga pemain utama Lubnan, semakin membara selepas secara rasmi mengikat kontrak bersama skuad TRW, pada jendela perpindahan kedua yang bermula 15 Mei lalu. 

Pemain berkenaan yang muncul penjaring terbanyak selepas meledak 16 gol dengan 11 penampilan bersama kelab AC Tripoli musim ini mengikat kontrak selama setahun setengah bersama TRW. 

Dia akan membuat penampilan pertama apabila TRW berdepan Pulau Pinang pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, esok. 

Bagaimanapun Abou Bakr yang juga lebih dikenali sebagai Bako, masih dalam proses menyesuaikan diri dengan corak permainan TRW dan meletak sasaran untuk membantu pasukan itu memenangi baki perlawanan yang bakal diharungi. 

"Saya bukan mahu meletak diri sebaris bekas penyerang berbisa TRW Mohammed Ghaddar yang berjaya menjaringkan 18 gol tetapi apa yang penting kehadiran saya untuk membantu mempertajamkan lagi serangan dan kalau boleh saya ingin menjaringkan gol pertama apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri. 

"Sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai pemain profesional untuk beri persembahan terbaik apabila menyertai TRW dan tidak dinafikan pasukan ini dibarisi pemain berkualiti malah ia pasti akan beri saya suntikan semangat untuk mempamerkan aksi lebih konsisten," katanya. 

Bako menyertai TRW menggantikan Mohammed Ghaddar untuk kuota import pemain Asia dan akan menggunakan jersi nombor 22 pada saingan Liga Malaysia (Liga M). 

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail menyifatkan kehadiran Bako akan menguatkan lagi jentera serangan dan membentuk kombinasi mantap dengan pemain tempatan seperti Indra Putra Mahayuddin, Khairul Izuan Rosli dan Mohammad Danial Ashraf Abdullah. 

"Saya harap Bako dapat menyesuaikan diri dalam skuad TRW secepat mungkin dan ia tidak timbul masalah kerana dia pemain profesional malah corak permainan yang pantas dan kelicikan mengawal bola serta teknik yang menarik amat sesuai dengan cara permainan TRW," katanya.

Sumber : BERITA HARIAN 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Adbox